Rosli K. Matari
SELAMAT BERPISAH,
WAHAI DALANGKU
Wayang Kulit Kelantan
© Kevin Ong (flickriver.com).
Rosli K. Matari
SELAMAT BERPISAH,
WAHAI DALANGKU
WAHAI DALANGKU
Jika kurenung kembali
Lentera tua ini, meski tidak bercahaya lagi
Aku akan selalu terkenang padamu,
Wahai dalangku.
Entah berapa lama
Sebahagian hayatmu disuluh cahaya
Untuk kaujelmakan bari hikayat,
Menjujuk segala peri watak ke muka kelir.
Kaupacak Beringin,
Ceruk dan alur cetera yang terpendam
Akan kembali menyusur jalan riwayat,
Berliku, bersimpang, tetapi hujungnya lurus.
Kelir itu tabir teladan,
Mewayangkan gajak kisah dan qisas
Mengibaratkan qidam dan qadar,
Hilang ghoyat, namun qadim itu kekal.
Di hadapan kelir itulah, sekian lama
Engkau menggalur taakul dan teladan
Berterap tamsil, meresap ke dalam fikir
Antara kias suluh dan bayang-bayang.
Tiada bayang, jikalau tiada cahaya
Ada cahaya, ada pelita
Dan wujud makrifat pelita
Kerana bersebalikkan Pencipta.
Dan engkau sendiri, wahai dalangku
Adalah deretan aksara takdir itu
Yang tersurat untuk memenuhi
Lembar hidup, tebal atau nipis.
Akhirnya jajar baris usiamu
Sampai juga ke hujung nyawa,
Nafas bertemu noktah
Bagai lesapnya bayang-bayang.
Seperti bayang itu,
Engkau pun tidak kekal di sini
Kerana dunia ini sirna,
Tiada sesempurna alam hakiki.
Kautinggalkan segala juzuk bari
Tabuh tidak terdengar lagi,
Tetapi segala teladan tersimpan itu
Tetap jernih bagai embun dan cermin.
Selamat berpisah,
Wahai dalangku
Tinggalkanlah aku di sini
Menunggu memaknakan bayang-bayang.
2 Okt 2009
[Dewan Sastera, Mac 2010]